.

26 Mei 2009

CARA DIDIK ANAK YANG NAKAL

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SAYA ada tiga anak. Dua lelaki berumur lapan dan enam tahun serta seorang perempuan baru berusia 11 bulan. Masalah saya, anak lelaki saya termasuk dalam kategori hiperaktif. Dia tidak takut pada ibu bapa, tidak mendengar kata dan mudah terpengaruh dengan kawan.

Sudah setahun saya memikirkan cara untuk membentuk dan mendisiplinkan anak-anak. Saya takut bila mereka membesar dalam keadaan begini mereka akan menjadi orang yang tidak berguna.


Jadi saya ingin minta pendapat Datuk kerana tahun 2009 saya mahu hantar mereka ke sebuah sekolah agama berasrama. Saya tidak tahu sama ada tindakan saya betul atau tidak.

Sejak kecil sehingga sekarang kedua-dua anak saya selalu buat masalah dengan kenakalannya. Saya takut untuk menghadapi hari remaja mereka jika mereka terus begini. Walaupun mereka nakal tetapi guru memberitahu mereka kanak-kanak cerdik.

Di dalam kelas, anak saya tak tahu duduk diam. Dia akan berjalan ke sana sini walaupun guru sedang mengajar. Namun apabila ditanya mengenai apa yang sedang diajar, mereka dapat menjawab dengan tepat.

Saya dan suami juga membesar dalam keluarga yang kurang pendidikan agama. Saya tidak mahu mereka macam itu juga. Adakah cara ini dapat membantu?



NORHAYATI,
Kuala Lumpur




Alhamdulillah daripada penerangan puan dan guru, nyata anak puan adalah anak yang cerdik walaupun hiperaktif. Alam pembesaran kanak-kanak bijak yang normal mempunyai ciri kanak-kanak yang cergas, suka berkawan dan ada unsur kenakalan kerana mereka sedang mempelajari dari persekitaran mereka. Anak begini jika dia diam tandanya dia sakit.

Ibu bapa ada pelbagai pilihan untuk memberi pendidikan agama pada anak-anak. Ada yang memilih untuk mengupah guru atau menghantar mereka ke asrama. Secara peribadi saya merasakan usia anak puan dalam lingkungan enam dan lapan tahun masih lagi terlalu awal untuk puan meletakkan mereka jauh daripada pandangan puan.

Dalam umur sebegini mereka sangat memerlukan kasih sayang, teguran dan bimbingan ibu dan ayah sebagai pendidikan pertama. Usah terlalu bimbang kerana pendidikan memerlukan kesabaran yang tinggi dalam diri ibu bapa serta masanya yang tersendiri.

Kata hikmah (setengah berpendapat ia hadis) ada menyebut bahawa ‘anak dari lahir hingga tujuh tahun pertama umpama bunga, dari tujuh tahun kedua umpama suruhan atau khadam dan dari tujuh tahun ketiga jika betul didikannya akan menjadi kawan atau musuh’.

Tegur anak-anak dari masa ke semasa dia melakukan kesilapan. Jangan berasa jemu, penat atau bosan. Dalam sesetengah keadaan kadang-kadang perlu juga rotan sekadar mendidik dan bukannya mendera.

Berilah ruang kanak-kanak melalui zaman keanakannya dan usah terlalu mendesak dia menjadi dewasa dalam umur yang terlalu muda. Doakanlah mereka menjadi anak yang soleh dalam setiap solat kerana doa ibu bapa tidak ditolak Allah.