.

26 Mei 2009

HARAM BERUBAT GUNA BOMOH

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SAYA pernah mendengar ada rakan saya yang ibunya kurang siuman. Ibunya mengalami masalah itu pada waktu tertentu saja. Jika tidak dilanda penyakit itu, dia seperti orang normal, baik dan menyayangi keluarga.

Tambahan pula dia ibu tunggal yang bekerja untuk menampung keluarganya. Banyak ikhtiar dilakukan, termasuk mengambil suntikan dari hospital dan rawatan secara tradisional, namun keadaannya tidak berubah.


Apakah hukum jika seseorang pergi berubat dengan orang yang berdampingan dengan jin (dimaklumkan jin itu daripada kalangan bunian)?

Apabila berubat, pesakit perlu menyediakan pelbagai bahan, antaranya selimut kuning dan sampul surat kuning untuk diisi dengan wang pengeras.

Orang yang merawat itu tidak pula membaca ayat al-Quran seperti surah al-Fatihah, surah al-Jinn dan sebagainya. Dia menyatakan ibu rakan saya terkena buatan saudaranya sendiri.

Kemudian pelbagai prosedur disuruh untuk ‘membalas’ balik apa yang ‘dihantar’, antaranya menabur kapur barus di rumah saudaranya. Tindakan itu dilakukan oleh rakan saya untuk membalas balik apa yang dihantar dulu.

Apakah hukum dan penjelasan Datuk mengenai kes seumpama ini kerana difahamkan saudaranya itu juga turut merawat pesakit dengan cara tradisional dan boleh dipanggil ‘Pak Lebai’.

Orang yang merawat itu mendapat mimpi yang bermaksud mendapat kelebihan mengubati dengan cara seperti bantuan orang bunian. Apakah perkara ini perlu kita percaya? Apa hukumnya jika mempercayai kata-kata orang yang merawat itu?



INGIN TAHU

Klang




Tidak ada satu penyakit yang tiada ubatnya, bahkan manusia dituntut berikhtiar mencari penawar penyakit. Berubat mungkin boleh melalui ubat moden atau tradisional yang menggunakan ayat al-Quran dan hadis sebagai penawar.

Tidak dapat dinafikan, sesetengah penyakit ada kaitan dengan perkara dalaman yang tidak dapat diubati secara moden. Semua kaedah yang digunakan ialah sebagai ikhtiar untuk mencari kesembuhan.

Mengubati pesakit dengan menggunakan bahan dan barang yang haram adalah diharamkan, termasuk yang diharamkan ialah tangkal. Ada sebahagian daripada mereka yang menggunakan khidmat makhluk Allah yang lain seperti bunian atau jin atas alasan memohon bantuan daripada seorang ‘kawan’.

Muzakarah jawatankuasa fatwa yang ke-39 membuat keputusan bahawa bersahabat dengan jin dengan tujuan mendapatkan pertolongan dalam rawatan perubatan sehingga membawa syirik adalah haram.

Begitu juga meminta pertolongan jin untuk mencari kekuatan dan kehebatan adalah haram hukumnya.

Apapun, perubatan yang bertujuan membalas dendam dan menimbulkan khurafat adalah bercanggah dengan tuntutan agama. Jika si perawat memohon kepada Allah dan cara perubatan tidak bercanggah, hukumnya harus untuk berubat dengannya.

Namun, jika kaedahnya bukan begitu, kita hendaklah berhati-hati kerana bimbang khidmat bomoh atau jin atau bunian adalah berbentuk ilmu sihir dan nujum yang haram hukumnya.