SOALAN
SUAMI saya meninggal dunia setahun lalu dan meninggalkan anak lelaki berumur dua tahun di bawah jagaan saya. Saya menetap di Johor manakala bekas mentua di Perak.
Semua wang simpanan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) arwah sudah saya terima tetapi belum dibahagikan secara faraid.
Saya merujuk ke pejabat agama untuk mendapatkan bahagian faraid (waris daripada keluarga arwah suami) dan membayar zakat daripada wang berkenaan. Untuk insurans kerja, arwah menamakan saya dan adik lelakinya sebagai pewaris.
Saya menganggap wang itu sebagai perbelanjaan untuk anak saya. Bagaimanapun keluarga bekas mentua tidak bersetuju dengan alasan:
Soalan saya, adakah saya perlu mengagihkan wang (simpanan dan KWSP) berkenaan berdasarkan faraid? Siapakah yang sepatutnya menjadi pemegang amanah ke atas wang anak saya? Tidakkah saya sebagai ibu lebih berhak kerana dia di bawah jagaan saya? Adakah benar saya hanya berhak menerima 1/4 saja daripada wang insurans berkenaan dan perlu menyerahkan bakinya kepada bekas bapa mentua untuk semua perbelanjaan anak yang berada dalam jagaan saya? Adakah adik lelaki arwah memang berhak menerima sepenuhnya bahagiannya kerana statusnya sama saja dengan saya? Saya harap Datuk dapat menjelaskan isu ini yang menimbulkan rasa tidak puas hati di pihak bekas mentua walaupun saya tidak menuntut apa-apa ke atas harta peninggalan arwah iaitu kereta dan motosikal walaupun saya anak beranak berhak ke atasnya. MUNA Johor JAWAPAN Dalam pembahagian harta pusaka suami jika suami meninggalkan wasiat atau pesanan seperti yang dilakukan pada wang insuran maka ia wajib dilaksanakan berdasarkan wasiatnya tanpa sebarang pindaan lain atau faraid kerana itu adalah dikira wasiat. Justeru itu kelayakan puan pada wang insuran adalah seperti yang diamanahkan tanpa boleh dikurangi sedikit pun bersama adik lelaki yang juga diwasiatkan. Menurut fatwa muzakarah kali ke 67 wang KWSP tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian sebaliknya mesti dibahagikan ikut faraid jika tiada wasiat. Harta yang lain peninggalan suami pula mulanya dibahagikan kepada harta sepencarian dulu kepada isteri, dan selebihnya barulah kepada hak pewaris lain. Jika dari apa yang puan nyatakan, pewaris maka hak selepas ditolak hutang, wasiat dan harta sepencarian puan ialah 1/8 (3/24); hak ayah 1/6 (4/24) dan selebihnya adalah milik anak lelaki (17/24). |