.

26 Mei 2009

HUKUM BELA ANJING UNTUK TUJUAN KESELAMATAN RUMAH

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

APAKAH hukumnya bagi seseorang yang beragama Islam membela anjing di rumah untuk tujuan keselamatan?


Adakah benar jika seseorang membela anjing di rumah, malaikat tidak memasuki rumah itu?

Saya pernah mendengar cerita mengenai pelacur pada zaman nabi yang mengasihani seekor anjing. Lalu syurga ditempatkan kepadanya walaupun dia pelacur.

INGIN TAHU
Kuala Lumpur


JAWAPAN


Pertamanya, elok dibincangkan mengenai anjing yang dikategorikan sebagai najis. Jika terkena jilatan atau air liur atau bersentuh (basah) dengan anjing, diwajibkan samak iaitu mencuci tujuh kali dan satu daripadanya dengan air tanah.

Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan Darqutni dan Hakim dinyatakan pernah menolak jemputan satu kaum yang membela anjing untuk datang ke rumah mereka.

Bila ditanya, baginda menjawab dalam rumah mereka ada anjing, sebaliknya baginda menerima jemputan kaum yang membela kucing. Bila ditanya, baginda menjawab ‘kucing itu tidak najis’.

Sahabat mengambil faham daripada hadis ini bahawa baginda menolak jemputan mereka yang membela anjing kerana bimbang mengenai najis.

Dalam masa sama, ada hadis daripada Ibn Jarir dan Abu Rafik yang menceritakan pada satu hari malaikat Jibrail mohon izin untuk masuk ke rumah Rasulullah SAW lalu baginda izinkan, namun malaikat tidak mahu masuk kerana ada anjing di dalamnya, lalu Rasulullah SAW memerintahkan supaya anjing dibunuh. Peristiwa ini hanya terjadi sekali dalam sejarah.

Tafsir Hamka berijtihad mengatakan perintah membunuh anjing merujuk kepada penyakit anjing gila yang menular ketika itu dan selepas itu baginda memerintahkan supaya dihentikan pembunuhan anjing. Selepas itu Rasulullah nyatakan bahawa anjing termasuk umat Allah yang dijaga kebajikannya.

Selepas dikumpul semua hadis, dapat dibuat kesimpulan bahawa harus memelihara anjing yang terlatih seperti untuk berburu, menjaga kebun, keselamatan dan keperluan yang bermanfaat.

Bahkan buruan anjing terlatih adalah halal dimakan. Hadis pelacur itu merujuk kepada pentingnya rasa kasih sayang hinggakan kasih pada binatang pun mampu membawa ke syurga.