.

28 Mei 2009

KONSEP HIDUP MUSLIM

Sumber: AD-DIN, HARIAN METRO

SAYA belajar di kalangan komuniti berbilang kaum, dengan majoritinya adalah bukan Islam. Kadang-kadang kawan bukan Islam ini sering bertanya pendapat saya mengenai Islam.

Antaranya mereka bertanya adakah orang bukan Islam di akhirat nanti akan berada di neraka, sedangkan mereka yang betul-betul beragama Islam akan ditempatkan di syurga?


Orang bukan Islam sesetengahnya tidak pernah melakukan sesuatu kejahatan pun, tidak pernah menganiayai orang malah tutur kata dan sifat peribadinya amat baik jika dibandingkan sesetengah orang Islam yang beriman hanya pada nama.

Adakah Allah akan menjalankan hisab juga ke atas orang bukan Islam? Jika ya, bagaimanakah Allah menilai kebaikan mereka? Adakah segala kebaikan yang mereka lakukan itu tidak akan dinilai dan diambil kira?

Bagaimana dengan Orang Asli yang tinggal di hutan, langsung tidak ada pembangunan dan hubungan dengan dunia luar, sebagai contoh, mereka tidak mendapat khabar mengenai Islam. Adakah mereka juga termasuk golongan yang masuk neraka?

Kedua, mereka mempersoalkan sifat Allah. Seperti yang kita tahu Allah bersifat pemurah dan penyayang. Tetapi mereka mempersoalkan sifat itu dengan mengatakan jika benar Allah menjadikan setiap manusia itu, kenapa tidak dijadikan semua orang di dunia ini memeluk Islam dan diberikan hidayah?

Ini kerana di akhirat nanti tidak perlu Allah menyeksa mereka yang tidak memeluk Islam dengan mencampakkan mereka ke dalam api neraka.

Mereka juga mempersoalkan keadilan Allah, kenapa hanya mengurniakan rahmat kepada orang Islam saja? Tidakkah Allah itu berlaku tidak adil kerana hanya memberi rahmat kepada segelintir orang sedangkan semua orang itu adalah ciptaan Allah?

Kemudian, apakah hikmahnya Allah menjadikan manusia itu pelbagai bangsa, agama dan bahasa?

Maafkan saya sekiranya persoalan saya ini agak keterlaluan, tetapi saya memerlukan satu jawapan kukuh untuk menegakkan Islam sebagai agama syumul supaya orang bukan Islam tidak memperlekehkan agama ini.



FARHAN,

Kelantan.




PERSOALAN yang dikemukakan di atas membabitkan kefahaman mengenai konsep ketuhanan, alam, manusia dan kehidupan menurut pandangan Islam. Ia kadang-kadang dipanggil 'tasawwur Islam' atau 'Islamic worldview.'

Apabila kita benar-benar memahami dan menghayatinya kita dapat menjawabnya dengan penuh yakin. Ini kerana apa yang dibawa Islam adalah kebenaran semata-mata.

Dengan kata lain, kita sewajarnya menerangkan kefahaman yang benar mengenai konsep itu kepada golongan bukan Islam.

Dalam Islam, Allah adalah Tuhan kepada segala makhluk termasuk orang Islam dan bukan Islam. Manusia adalah makhluk Allah yang diciptakan Allah dengan sebaik-baik kejadian.

Secara umum, terdapat tiga unsur yang ada pada diri manusia, iaitu fizikal, akal dan roh.

Tujuan utama manusia diciptakan adalah untuk mengenal dan seterusnya menyembah Tuhan yang menciptanya.

Alam termasuk dunia adalah ciptaan Allah. Antara tujuan diciptakan alam adalah untuk memperlihatkan tanda kebesaran Allah.

Kehidupan pula dilihat sebagai anugerah Allah kepada makhluknya. Islam melihat kehidupan bukan sahaja di dunia malah di akhirat.

Dunia dilihat sebagai medan dalam menentukan sama ada manusia berjaya dalam ujian yang ditetapkan Allah. Kejayaan mereka dilihat apabila berjaya mengenal dan menyembah Tuhan pencipta alam.

Mengenai balasan baik untuk orang Islam ia adalah benar. Ini kerana Islam itu sendiri bermaksud penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah.

Dengan kata lain, orang Islam benar-benar mematuhi segala perintah Allah yang disampaikan para nabi terutama Nabi Muhammad s.a.w.

Setiap orang menyakini adanya Tuhan yang satu, kenabian Nabi Muhammad s.a.w dan hari akhirat.

Balasan neraka diterima orang bukan Islam adalah benar. Begitu juga kepada orang Islam yang derhaka. Balasan sedemikian setimpal dengan segala kepercayaan dan perbuatan mereka.

Seperti yang diterangkan di atas, semua manusia diberi Allah akal dalam mencari dan mengenal kebenaran. Mereka diberi kebebasan sepenuhnya berbanding dengan makhluk lain. Manusia itu disebut sebagai 'rational being' (makhluk yang berakal). Sekiranya orang bukan Islam melakukan kebaikan di dunia seperti tidak pernah menganiayai orang, malah tutur kata dan sifat peribadinya baik, jika dibandingkan sesetengah orang Islam yang hanya pada nama, itulah dianjurkan Islam dan agama lain.

Manusia pada asalnya adalah manusia moral (moral being). Bagaimanapun, Islam melihat ada dua perhubungan utama, iaitu hubungan sesama manusia dan dengan Allah Tuhan Pencipta alam dan manusia.

Manusia akan dinilai berdasarkan kedua-dua hubungan itu. Manusia yang jahil dan sombong sehingga menafikan Tuhan pencipta alam dimurkai Pencipta-Nya.

Berkenaan adanya manusia yang hidup terasing seperti Orang Asli, adalah menjadi kewajipan bagi masyarakat Islam untuk menyampaikan dakwah Islam kepada mereka.

Mereka juga seperti manusia lain dicipta Allah secara sempurna. Dengan usaha yang gigih, mereka akan dapat memahami cara hidup beragama yang sebenar.

Agama Islam sesuai dengan fitrah semula jadi manusia. Dalam dunia global sekarang, Islam tidaklah asing kepada semua masyarakat manusia.

Seterusnya mengenai pembahagian manusia kepada orang Islam dan bukan Islam atau lebih tepat lagi orang beriman dan tidak beriman, semuanya diasaskan kepada kebebasan manusia memilih cara hidup.

Islam tidak memaksa manusia menganut ajaran Islam. Ajaran Islam diasaskan atas dasar penyerahan diri secara sukarela kepada Allah Tuhan Pencipta segala makhluk.

Perkara ini jelas apabila al-Quran menegaskan, maksudnya: "Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Kebenaran itu telah datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya. Kerana kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah." (al-Quran, al-Kahfi (18): 28)

Mengenai rahmat Allah hanya kepada orang Islam, itu tidak sepenuhnya benar. Terdapat dua kategori rahmat, iaitu rahmat umum dan rahmat khusus.

Rahmat umum dirasakan kepada seluruh alam dan makhluk kerana semuanya dijadikan Allah itu Tuhan sekalian alam dan segala makhluk. Cuba perhatikan keadaan sekeliling, diri sendiri, betapa nikmat dan rahmat yang manusia dapat.

Udara, alam sekeliling, anggota tubuh dan sebagainya semua adalah rahmat dan rahmat Allah.

Bagaimanapun, rahmat khusus hanya dapat kepada orang yang beriman terutama di akhirat nanti. Ini kerana mereka benar-benar beriman dan melaksanakan segala perintah Allah secara sukarela dan penuh ketaatan.

Adalah adil sekiranya Allah memberi, mengekalkan dan menambah lagi rahmat dan nikmat di akhirat nanti. Antaranya nikmat syurga dan melihat Allah.

Ini sesuai dengan nama dan sifat Allah, ar-Rahman dan ar-Rahim sebagaimana dalam basmalah, iaitu "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihi."

Islam datang membawa rahmat kepada seluruh alam. Risalah Nabi Muhammad s.a.w kepada penduduk dunia seluruhnya sebagai rahmat dan nikmat yang besar. Ini jelas apabila Allah berfirman, maksudnya:

"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadikan rahmat bagi sekalian alam." (al-Quran, al-Anbiya'(21): 107)

Dengan menerima ajaran Islam yang disampaikan Nabi Muhammad, manusia akan selamat di dunia dan akhirat. Sesiapa yang kufur dan ingkar mendapat 'kecelakaan' di dunia dan akhirat.

Pembahagian manusia berdasarkan jantina lelaki dan perempuan, malah lahir pelbagai bangsa dan suku puak, semuanya ada hikmah tertentu.

Ia terutama bagi umat manusia menjalin hubungan yang sihat antara satu sama lain, seperti kenal mengenali dan bantu membantu.

Allah berfirman, maksudnya: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah mencipta kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya." (al-Quran, al-Hujurat (49): 11)

Sememangnya Allah berkuasa menjadikan mereka umat yang satu. Allah berfirman, maksudnya: "...Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu..." (al-Quran, al-Maidah (5): 48)

Malah Islam melihat semua manusia berasal daripada keturunan yang satu iaitu Adam dan Hawa. Allah berfirman, maksudnya: "Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa), dan membiakkan daripada keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai." (al-Quran, al-Nisa'(4): 1)

Sebelum lahir ke dunia, manusia mengakui Tuhan yang Esa seperti firman Allah, maksudnya: "Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi..." (al-Quran, al-A'raf (7):172)

26 Mei 2009

IKUT FAHAMAN SYIAH

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

SEMUA kita tahu Islam adalah addin, agama yang adil dan mendapat hidayah daripada Allah. Agama Islam mengajar kita erti sebenar kehidupan umatnya, dengan dikurniakan kepada kita para nabi dan rasul untuk membantu umatnya mengenali erti sebenar islam berteraskan al-Quran dan sunnah.

Seperti kita tahu, sejarah pernah menceritakan perbalahan antara puak Syiah dan Sunnah.

Di sini banyak perkara dipertikaikan antara kedua-duanya, seperti cara mengerjakan sembahyang lima waktu.

Saya mempunyai seorang kenalan yang mengikut ajaran Syiah. Pernah sekali kami berhujah mengenai perbezaan antara Sunnah dan Syiah, kenalan saya tetap mempertahan Syiah, dan dia mengatakan Syiah adalah satu agama yang tinggi darjatnya dengan mengeluarkan dalil yang mengatakan Syiah tetap betul.

Dengan usia kenalan saya yang baru 20-an dan muda bagi saya fikirkan, dia sudah berani mempertahankan sesuatu fakta mengenai Syiah. Daripada hujah yang dikeluarkan seperti seorang ustaz, padahal pendidikannya tidaklah setinggi mana pun. Saya tetap mempertahan pendapat bahawa amalan Sunnah lebih baik. Apa pandangan Datuk dalam hal ini?

INGIN TAHU

Bangi, Selangor


JAWAPAN

Perbalahan antara Sunni dan Syiah sudah lama berlaku dan diketahui umum. Ia bukan perbalahan mazhab yang biasa, tetapi lebih daripada itu hingga membawa kepada pembunuhan dan perpecahan politik di sesetengah negara Islam.

Syiah sendiri mempunyai beberapa banyak cabang. Ada yang sangat ekstrem memerangi Sunni dan ada yang toleran pada Sunni. Umum mengetahui perbezaan dan perbalahan besar antara Sunni dan Syiah daripada segala segi hingga menjangkau persoalan akidah seperti rukun Islam dan iman, takfir, murtad, bahkan hingga mendustakan al-Quran.

Pandangan kenalan saudara yang menganggap Syiah sebagai agama yang tinggi adalah tidak benar kerana Syiah bukan agama, tetapi fahaman agama saja. Hanya Islam agama yang tinggi di sisi Allah. Hanya mereka yang tidak tahu dan tidak mendalami agama akan berhujah seperti kenalan saudara.

Merujuk fatwa 24-25 September 1984, Malaysia tidak mengiktiraf mana-mana mazhab Syiah tetapi menetapkan umat Islam Malaysia hendaklah mengikuti ajaran Islam berasaskan pegangan ahli Sunnah Wal Jamaah daripada segi akidah, syariah dan akhlak.

HUKUM SOLAT DUDUK

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

JIKA saya solat dalam keadaan duduk (atas kerusi) kerana kesakitan, adakah perlu untuk saya sujud sahwi kerana saya ada terbaca satu artikel yang menyatakan antara sebab kena sujud sahwi ialah berdiri doa qunut dan duduk tahiyat awal.


INGIN TAHU
Seremban


JAWAPAN


Solat dan semua ibadat perlu dilaksanakan berdasarkan kemampuan. Allah SWT tidak pernah memberatkan hamba-Nya untuk melaksanakan tanggungjawab mereka. Jika tidak mampu berdiri kerana uzur dan sakit, sah solat dengan duduk tanpa perlu melaksanakan sujud sahwi.

Sujud sahwi ialah sujud yang dilakukan sebagai menampung kekurangan yang bukan rukun dalam solat kerana terlupa misalnya. Umpamanya membaca qunut dan duduk membaca tahiyat awal bukan rukun dalam solat. Jika tertinggal secara tidak sengaja maka dituntut sujud sahwi kerana tidak melaksanakannya. Hal ini tiada kena mengena dengan solat duduk kerana uzur.

CABUTAN BERTUAH

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SAYA ingin tahu apakah perbezaan antara cabutan bertuah dengan judi? Adakah cabutan bertuah itu juga dikira mempunyai unsur perjudian?

Sekiranya kita mendapat cabutan bertuah daripada syarikat luar negara adakah itu juga dikira sebagai judi sedangkan kita tidak mengeluarkan wang pun untuk menyertainya, tetapi mereka mendapat emel kita melalui internet.




Insan runsing
Pahang




Sesuatu pertandingan dikira judi jika dalam pertandingan berkenaan mempunyai unsur deposit atau cagaran. Ini kerana judi ialah pertaruhan sama ada dalam bentuk harta atau saja yang seumpamanya.

Cabutan bertuah bukan judi kerana pesertanya tidak perlu mengeluarkan sebarang cagaran atau modal kewangan sebaliknya ia adalah inisiatif daripada pihak syarikat yang ingin memilih sesiapa untuk diberikan habuan mungkin sebagai cara pengiklanan.

AMALAN TAHLIL UNTUK ARWAH

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SAYA ingin bertanya mengenai amalan tahlil kepada si mati. Adakah ia wajib, sunat, harus atau haram untuk dilakukan. Misalnya apabila berlaku kematian, keluarga si mati akan memanggil orang kampung datang ke rumah untuk membuat tahlil kepada si mati.

Selepas itu orang kampung itu akan dijamu dengan makanan. Majlis tahlil ini dibuat selama tujuh hari berturut-turut, selepas itu dibuat pula untuk 40 hari dari tarikh si mati meninggal dunia.


Tidakkah amalan ini menyusahkan keluarga si mati yang terpaksa menyediakan makanan kepada penduduk kampung datang bertahlil? Dan adakah pahala orang yang bertahlil itu sampai kepada si mati?



Musykil,
Serdang




Tahlil 40 hari dan 100 hari untuk si mati memang tidak pernah dilakukan di dalam sunnah Nabi Muhammad saw. Memang ada perbezaan pendapat ulama berhubung tahlil, namun majoriti berpendapat amalan ini membolehkan pahala sampai pada si mati.

Amalan tahlil ini dilakukan setengah masyarakat sebagai cara untuk mengumpulkan saudara mara dan orang ramai untuk berdoa dan bersedekah pada si mati. Doa orang yang hidup daripada tahlil insya-Allah sampai pada si mati.

Ini berdasarkan beberapa dalil seperti kita meminta ampun dalam solat jenazah untuk si mati, apa guna meminta ampun jika ia tidak sampai. Bahkan dalam surah al-Hasyr ayat 10 kita dituntut memohon ampun untuk diri dan kawan-kawan yang telah mendahului.

Ini bererti doa itu akan sampai pada si mati. Jamuan makanan jika sampai menyusahkan keluarga si mati ia makruh diadakan.

Jika tuan rumah berhajat memberi makanan dengan tujuan sedekah ia tidak salah.

CARA DIDIK ANAK YANG NAKAL

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SAYA ada tiga anak. Dua lelaki berumur lapan dan enam tahun serta seorang perempuan baru berusia 11 bulan. Masalah saya, anak lelaki saya termasuk dalam kategori hiperaktif. Dia tidak takut pada ibu bapa, tidak mendengar kata dan mudah terpengaruh dengan kawan.

Sudah setahun saya memikirkan cara untuk membentuk dan mendisiplinkan anak-anak. Saya takut bila mereka membesar dalam keadaan begini mereka akan menjadi orang yang tidak berguna.


Jadi saya ingin minta pendapat Datuk kerana tahun 2009 saya mahu hantar mereka ke sebuah sekolah agama berasrama. Saya tidak tahu sama ada tindakan saya betul atau tidak.

Sejak kecil sehingga sekarang kedua-dua anak saya selalu buat masalah dengan kenakalannya. Saya takut untuk menghadapi hari remaja mereka jika mereka terus begini. Walaupun mereka nakal tetapi guru memberitahu mereka kanak-kanak cerdik.

Di dalam kelas, anak saya tak tahu duduk diam. Dia akan berjalan ke sana sini walaupun guru sedang mengajar. Namun apabila ditanya mengenai apa yang sedang diajar, mereka dapat menjawab dengan tepat.

Saya dan suami juga membesar dalam keluarga yang kurang pendidikan agama. Saya tidak mahu mereka macam itu juga. Adakah cara ini dapat membantu?



NORHAYATI,
Kuala Lumpur




Alhamdulillah daripada penerangan puan dan guru, nyata anak puan adalah anak yang cerdik walaupun hiperaktif. Alam pembesaran kanak-kanak bijak yang normal mempunyai ciri kanak-kanak yang cergas, suka berkawan dan ada unsur kenakalan kerana mereka sedang mempelajari dari persekitaran mereka. Anak begini jika dia diam tandanya dia sakit.

Ibu bapa ada pelbagai pilihan untuk memberi pendidikan agama pada anak-anak. Ada yang memilih untuk mengupah guru atau menghantar mereka ke asrama. Secara peribadi saya merasakan usia anak puan dalam lingkungan enam dan lapan tahun masih lagi terlalu awal untuk puan meletakkan mereka jauh daripada pandangan puan.

Dalam umur sebegini mereka sangat memerlukan kasih sayang, teguran dan bimbingan ibu dan ayah sebagai pendidikan pertama. Usah terlalu bimbang kerana pendidikan memerlukan kesabaran yang tinggi dalam diri ibu bapa serta masanya yang tersendiri.

Kata hikmah (setengah berpendapat ia hadis) ada menyebut bahawa ‘anak dari lahir hingga tujuh tahun pertama umpama bunga, dari tujuh tahun kedua umpama suruhan atau khadam dan dari tujuh tahun ketiga jika betul didikannya akan menjadi kawan atau musuh’.

Tegur anak-anak dari masa ke semasa dia melakukan kesilapan. Jangan berasa jemu, penat atau bosan. Dalam sesetengah keadaan kadang-kadang perlu juga rotan sekadar mendidik dan bukannya mendera.

Berilah ruang kanak-kanak melalui zaman keanakannya dan usah terlalu mendesak dia menjadi dewasa dalam umur yang terlalu muda. Doakanlah mereka menjadi anak yang soleh dalam setiap solat kerana doa ibu bapa tidak ditolak Allah.

HUKUM BUANG BULU KAKI BAGI WANITA

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SAYA keliru dengan percanggahan pendapat mengenai perbuatan seseorang perempuan yang belum berkahwin membuang bulu kaki, tangan dan atas bibir (menggunakan sistem laser) atas keinginan dan kepuasan hati, tetapi bukan niat untuk menunjuk kerana dia menutup aurat bila keluar rumah. Apakah pandangan Datuk dalam hal ini? Apakah hukumnya?


LIN
Petaling Jaya




Persoalan mengenai perhiasan wanita sudah dikupas dengan jelas dalam ensiklopedia hukum wanita yang ditulis oleh Abdul Karim Zaidan.

Wanita yang berkahwin lebih luas skop perhiasannya yang mana jika dilakukan dengan niat untuk suami, ia menjadi harus.

Bagi seorang gadis, sesuatu hukum itu berdasarkan juga pada niat dia melakukannya dan tidak boleh sampai membawa kepada penipuan dan pemalsuan dirinya yang sebenar.

Semua ini bagi memelihara daripada berlaku penipuan bagi lelaki yang ingin meminang.

Hukum memakai hiasan adalah harus, kecuali jika ada nas yang mengharamkan berdasarkan firman Allah dalam surah al-Akraf, ayat 32 yang bermaksud: “Katakan siapa yang mengharamkan perhiasan yang Allah keluarkan untuk hambanya.”

Seorang wanita juga pada asalnya tidak berbulu pada bibir dan kawasan lain yang disebut tadi.

Oleh itu jika dia membuangnya kerana khuatir menyerupai lelaki atau demi menjaga kecantikan kerana Allah itu cantik dan suka pada yang cantik tanpa ada rasa ingin riak dan menunjukkan kecantikannya, ia tidak salah.

HUTANG MAHAR ISTERI

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SAYA ingin tahu berapa lama tempoh boleh diberi untuk melangsaikan duit hantaran perkahwinan. Buat pengetahuan Datuk, saya sudah setahun berkahwin dan kini mengandung anak pertama, tetapi duit hantaran oleh pihak suami belum diterima.

Semasa nikah, sudah bincang dengan pihak keluarga untuk bayar kemudian dan mendahulukan yang wajib. Jumlah duit hantaran tidak banyak tetapi belum langsai disebabkan terlalu banyak komitmen. Adakah jika tidak membayar hutang duit hantaran itu akan menjejaskan talian perkahwinan kami.




ANIS
Kuala Lumpur




Mahar adalah sejumlah harta atau wang yang wajib diberikan pihak lelaki kepada perempuan berdasarkan firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 4 bermaksud: ‘berikanlah mas kahwin (mahar) kepada (wanita yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan’. Pemberian ini, sama ada besar atau kecil, adalah atas persetujuan dua pihak, bahkan jika wanita itu mahu menghalalkannya pada suami dia boleh berbuat demikian.

Dalam kitab Fikah dibincangkan mengenai mahar ini harus dipercepatkan atau dilambatkan yakni berhutang. Ia berbalik kepada persetujuan semasa akad, ia hutang sehingga bila tempoh berkenaan.

Jika tiada ketetapan yang ditentukan semasa akad, hukumnya ialah perlu disegerakan bila berkemampuan dan tidak boleh terlalu lama mengikut tafsiran yang sesuai bagi kedua-dua pihak. Ada yang berpendapat bahawa jika tiada ketetapan, masa terakhir ialah apabila bercerai atau mati. Dalam hal ini janganlah diutamakan komitmen yang lain kerana mahar ini wajib, kecuali jika isteri merelakannya.

HUKUM BELA ANJING UNTUK TUJUAN KESELAMATAN RUMAH

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

APAKAH hukumnya bagi seseorang yang beragama Islam membela anjing di rumah untuk tujuan keselamatan?


Adakah benar jika seseorang membela anjing di rumah, malaikat tidak memasuki rumah itu?

Saya pernah mendengar cerita mengenai pelacur pada zaman nabi yang mengasihani seekor anjing. Lalu syurga ditempatkan kepadanya walaupun dia pelacur.

INGIN TAHU
Kuala Lumpur


JAWAPAN


Pertamanya, elok dibincangkan mengenai anjing yang dikategorikan sebagai najis. Jika terkena jilatan atau air liur atau bersentuh (basah) dengan anjing, diwajibkan samak iaitu mencuci tujuh kali dan satu daripadanya dengan air tanah.

Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan Darqutni dan Hakim dinyatakan pernah menolak jemputan satu kaum yang membela anjing untuk datang ke rumah mereka.

Bila ditanya, baginda menjawab dalam rumah mereka ada anjing, sebaliknya baginda menerima jemputan kaum yang membela kucing. Bila ditanya, baginda menjawab ‘kucing itu tidak najis’.

Sahabat mengambil faham daripada hadis ini bahawa baginda menolak jemputan mereka yang membela anjing kerana bimbang mengenai najis.

Dalam masa sama, ada hadis daripada Ibn Jarir dan Abu Rafik yang menceritakan pada satu hari malaikat Jibrail mohon izin untuk masuk ke rumah Rasulullah SAW lalu baginda izinkan, namun malaikat tidak mahu masuk kerana ada anjing di dalamnya, lalu Rasulullah SAW memerintahkan supaya anjing dibunuh. Peristiwa ini hanya terjadi sekali dalam sejarah.

Tafsir Hamka berijtihad mengatakan perintah membunuh anjing merujuk kepada penyakit anjing gila yang menular ketika itu dan selepas itu baginda memerintahkan supaya dihentikan pembunuhan anjing. Selepas itu Rasulullah nyatakan bahawa anjing termasuk umat Allah yang dijaga kebajikannya.

Selepas dikumpul semua hadis, dapat dibuat kesimpulan bahawa harus memelihara anjing yang terlatih seperti untuk berburu, menjaga kebun, keselamatan dan keperluan yang bermanfaat.

Bahkan buruan anjing terlatih adalah halal dimakan. Hadis pelacur itu merujuk kepada pentingnya rasa kasih sayang hinggakan kasih pada binatang pun mampu membawa ke syurga.

KORBAN UNTUK ORANG YANG SUDAH MENINGGAL DUNIA

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SAYA ingin tahu sama ada nama orang yang meninggal dunia boleh disenaraikan sebagai penama ibadat korban ketika Hari Raya Qurban. Mohon penjelasan daripada Datuk.


ROSLIN

Mersing




Korban ialah satu ibadat yang dilaksanakan ketika Aidiladha sebagai tanda kemewahan yang dikecapi dan taqarub atau mendekatkan diri pada Allah.

Ia disyariatkan sebagai tanda bersyukur pada Allah atas nikmat yang diberi, antaranya nikmat panjang umur dari setahun ke setahun serta kaffarah atas dosa yang dilakukan.

Syariat ini kepada mereka yang mampu melakukan untuk dirinya atau mereka yang di bawah tanggungannya. Syarat mereka yang hendak melakukan korban ialah muslim, berakal, baligh, bermukim dan mampu.

Atas dasar yang dijelaskan tadi, Imam Shafie berpendapat, tidak boleh membuat korban untuk orang lain kecuali jika dia izinkan. Justeru, tidak boleh berkorban untuk orang yang sudah mati, kecuali jika si mati ada wasiat berbuat demikian.

Bagi orang yang sudah mati, ada ibadat lain yang disyariatkan iaitu sedekah jariah dan bukan korban.

HARAM BERUBAT GUNA BOMOH

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SAYA pernah mendengar ada rakan saya yang ibunya kurang siuman. Ibunya mengalami masalah itu pada waktu tertentu saja. Jika tidak dilanda penyakit itu, dia seperti orang normal, baik dan menyayangi keluarga.

Tambahan pula dia ibu tunggal yang bekerja untuk menampung keluarganya. Banyak ikhtiar dilakukan, termasuk mengambil suntikan dari hospital dan rawatan secara tradisional, namun keadaannya tidak berubah.


Apakah hukum jika seseorang pergi berubat dengan orang yang berdampingan dengan jin (dimaklumkan jin itu daripada kalangan bunian)?

Apabila berubat, pesakit perlu menyediakan pelbagai bahan, antaranya selimut kuning dan sampul surat kuning untuk diisi dengan wang pengeras.

Orang yang merawat itu tidak pula membaca ayat al-Quran seperti surah al-Fatihah, surah al-Jinn dan sebagainya. Dia menyatakan ibu rakan saya terkena buatan saudaranya sendiri.

Kemudian pelbagai prosedur disuruh untuk ‘membalas’ balik apa yang ‘dihantar’, antaranya menabur kapur barus di rumah saudaranya. Tindakan itu dilakukan oleh rakan saya untuk membalas balik apa yang dihantar dulu.

Apakah hukum dan penjelasan Datuk mengenai kes seumpama ini kerana difahamkan saudaranya itu juga turut merawat pesakit dengan cara tradisional dan boleh dipanggil ‘Pak Lebai’.

Orang yang merawat itu mendapat mimpi yang bermaksud mendapat kelebihan mengubati dengan cara seperti bantuan orang bunian. Apakah perkara ini perlu kita percaya? Apa hukumnya jika mempercayai kata-kata orang yang merawat itu?



INGIN TAHU

Klang




Tidak ada satu penyakit yang tiada ubatnya, bahkan manusia dituntut berikhtiar mencari penawar penyakit. Berubat mungkin boleh melalui ubat moden atau tradisional yang menggunakan ayat al-Quran dan hadis sebagai penawar.

Tidak dapat dinafikan, sesetengah penyakit ada kaitan dengan perkara dalaman yang tidak dapat diubati secara moden. Semua kaedah yang digunakan ialah sebagai ikhtiar untuk mencari kesembuhan.

Mengubati pesakit dengan menggunakan bahan dan barang yang haram adalah diharamkan, termasuk yang diharamkan ialah tangkal. Ada sebahagian daripada mereka yang menggunakan khidmat makhluk Allah yang lain seperti bunian atau jin atas alasan memohon bantuan daripada seorang ‘kawan’.

Muzakarah jawatankuasa fatwa yang ke-39 membuat keputusan bahawa bersahabat dengan jin dengan tujuan mendapatkan pertolongan dalam rawatan perubatan sehingga membawa syirik adalah haram.

Begitu juga meminta pertolongan jin untuk mencari kekuatan dan kehebatan adalah haram hukumnya.

Apapun, perubatan yang bertujuan membalas dendam dan menimbulkan khurafat adalah bercanggah dengan tuntutan agama. Jika si perawat memohon kepada Allah dan cara perubatan tidak bercanggah, hukumnya harus untuk berubat dengannya.

Namun, jika kaedahnya bukan begitu, kita hendaklah berhati-hati kerana bimbang khidmat bomoh atau jin atau bunian adalah berbentuk ilmu sihir dan nujum yang haram hukumnya.

SUAMI TARIK BALIK SYARAT JATUH TALAK

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SOALAN

SAYA pernah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada isteri saya, menyatakan jika dia masih berhubung dengan mana-mana lelaki tanpa izin saya, terjatuh talak ke atasnya.


Keesokan harinya, saya mengatakan saya menarik balik kata-kata itu dengan mengatakan saya izinkan dia berhubung dengan mana-mana lelaki walaupun tanpa izin saya.

Sekarang ni dia masih berhubung dengan bekas teman lelakinya tanpa pengetahuan saya. Adakah talak tadi boleh ditarik balik?

SUAMI RISAU
Kelantan


JAWAPAN


Apa yang tuan lafazkan tadi bukan lagi talak, tapi syarat talak, yakni talak jatuh dengan ada syarat iaitu berhubung dengan lelaki lain.

Ertinya, jika isteri berhubung dengan lelaki lain, baru jatuh talak. Sekarang jika tuan menarik balik syarat atau melupuskannya, maka tiada lagi syarat.

Syarat boleh ditarik balik. Yang tidak boleh ditarik balik ialah talak, apabila sudah dilepaskan, maka dikira satu. Kuasa yang ada cuma tiga kali untuk suami gunakan sebaik mungkin.

Isteri yang baik ialah yang taat pada suami dan tidak curang. Mendidik isteri adalah tanggungjawab suami. Didik isteri dengan hikmah dan jangan mengugut dengan kuasa talak yang ada, kelak merugikan suami juga jika benar-benar jatuh.

Jangan jadi suami yang dayus sehinggakan isteri berlaku curang dibiarkan. Ada masa perlu berkeras dan ada masa perlu berlembut.

KAEDAH BERSOLAT KETIKA BELAYAR

Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

SAYA mempunyai beberapa soalan iaitu:

  • Bagaimana cara untuk solat ketika belayar? Contohnya jika seseorang itu bekerja sebagai kelasi kapal yang perlu ada di laut untuk tempoh lama. Bagaimana pula untuk menentukan kiblat?


  • Bagaimana pula untuk orang yang bekerja di pelantar minyak? Setahu saya, mereka yang bekerja di pelantar minyak juga ada di lautan lepas untuk tempoh lama juga.

  • Bagaimana pula dengan solat Jumaat? Apakah ada hukum yang membolehkan individu yang bekerja seperti sebagai kelasi dan di pelantar minyak untuk tidak menunaikan solat Jumaat? Kerana jika mahu pun, jumlahnya keseluruhan pekerja tidak mencukupi.



    MR CYBER

    Terengganu




    Terima kasih atas soalan yang menarik untuk dibincangkan, iaitu mengenai solat ketika belayar. Solat adalah rukun Islam dan ibadat badan yang wajib dilakukan di mana saja, sama ada di daratan atau lautan. Bahkan Nabi Muhammad menunaikan solat ketika atas kenderaannya juga.

    Seorang kelasi yang ada lama di lautan atau seorang pekerja pelantar minyak juga tidak terlepas daripada kewajipan ini. Tempoh yang lama bermusafir atau ada di lautan bukan alasan untuk tidak menunaikan solat. Bagi penentuan arah kiblat, kompas digunakan bagi melihat arah Kaabah.

    Mereka yang menaiki kapal terbang biasanya dapat maklumat daripada juruterbang dan rasanya tidak susah juga untuk pelayar mendapat arah Makkah dan kaabah. Cara menentukan arah kiblat ketika di laut ialah dengan berpandukan kompas atau melihat arah mana matahari terbenam, maka itulah kiblatnya.

    Jika terlalu sukar, anda boleh menghadap ke mana-mana arah seperti mana fatwa Muzakarah Ulama ke-76 pada 21— 23 November 2006 mengenai pelaksanaan ibadat di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS). Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor ketika di ISS menunaikan solat sebagai tanggungjawab seorang muslim.

    Sembahyang Jumaat adalah satu kewajipan kepada lelaki, kecuali dalam keadaan musafir. Oleh itu, terpulang kepada saudara untuk menunaikan solat Jumaat ketika bekerja di pelantar minyak kerana berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Ke-14 pada Oktober 1985 menyatakan, adalah harus bagi kakitangan kerajaan seperti polis dan tentera meninggalkan solat Jumaat kerana menjalankan tugas rasmi yang dikira sebagai uzur syar’ie dengan syarat tidak meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut.

    Bagaimanapun, jika saudara tidak solat Jumaat, hendaklah digantikan dengan solat Zuhur. Syarat sah solat Jumaat ialah jemaah tidak kurang 40 orang yang bermukim, jika tiada syarat ini, tidak sah melakukan solat jumaat dan hanya dilakukan solat Zuhur.
  • BERI HARTA KETIKA MASIH HIDUP

    Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

    ADAKAH berdosa jika seorang ibu atau bapa memberi hak milik atau ubah nama harta pusaka, contohnya tanah bendang, kepada semua anaknya, sedangkan dia masih hidup.

    Adakah boleh seseorang itu memberi harta pusakanya kepada semua anaknya secara sama banyak? Selalu disebutkan ‘cara adat’, manakala apabila lelaki dilebihkan, hak disebut ‘cara syarak’.




    HISHAM

    Alor Star, Kedah




    Sesuatu harta hanya boleh dinamakan harta pusaka selepas tuan yang empunya meninggal dunia. Selagi dia masih hidup, harta itu bukan pusaka dan dia berhak untuk membelanjakannya seperti yang dia suka.

    Ibu bapa boleh menukar milik harta mereka kepada anak atau lebih tepat istilahnya ialah hebah atau menghadiahkan harta mereka ketika mereka hidup.

    Terpulang bagaimana cara mereka ingin membahagikan harta mereka. Jika harta berkenaan hanya boleh dibahagikan selepas mereka meninggal dunia, itu namanya mewasiatkan.

    Maknanya harta itu masih milik mereka dan hanya selepas mereka meninggal dunia baru harta berkenaan dibahagikan ikut cara seperti yang mereka tentukan sebelum ini.

    Yang penting, ibu bapa bersikap adil terhadap semua anak dan tiada yang dizalimi dalam erti kata mereka yang berhak dapat tidak mendapat hak sepatutnya.

    25 Mei 2009

    HUKUM PERNIAGAAN MLM

    Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

    SAYA sudah beberapa kali didatangi ahli syarikat perniagaan MLM (Multi-Level Marketing) dan mereka aktif mempromosi produk dan kelebihan masing-masing.

    Ada yang menawarkan pendapatan berkali ganda dan pelbagai lagi. Ia memang mampu menarik minat, terutama sekali remaja dan belia.


    Untuk pengetahuan Datuk, saya amat berminat untuk menyertai perniagaan MLM.

    Namun begitu, saya masih kurang jelas dan berharap mendapat penjelasan terhadap kemusykilan saya terhadap perniagaan ini daripada segi hukum syarak.

    Adakah halal pendapatan itu jika pelaburan itu memberi keuntungan berlipat ganda?

    Perniagaan ini berdasarkan konsep ‘upline’ dan ‘downline’. Ini bermakna, mereka yang di atas akan sentiasa menikmati keuntungan melalui ‘downline’ yang membawa ahli baru. Apakah ini dibenarkan dalam Islam?

    Kebiasaannya ‘upline’ akan sentiasa memastikan ‘downline’ berusaha mencari ahli baru, ini kerana pulangan modal dan keuntungan diperoleh daripada jumlah ahli yang mendaftar di bawah kita.

    Andai kata, si ‘A’ orang terakhir menyertai ‘pelaburan’ itu, dan tidak mampu lagi mencari ahli baru, wang ‘pelaburan’ dan keuntungan sama sekali tidak akan diperoleh si ‘A’. Adakah ia dibenarkan dalam Islam?



    ESBEE MOHAMED

    Ampang, Selangor




    Biar kita bermula dengan dasar perniagaan dan jual beli. Jual beli adalah halal dengan syarat ianya jelas dan tiada unsur syubahat, kabur dan penganiayaan mana-mana pihak.

    Mereka yang berniaga pasti mencari keuntungan. Rasulullah SAW sendiri berjaya mendatangkan keuntungan berlipat ganda pada perniagaan Saidatina Khadijah.

    Jika melihat unsur dalam perniagaan yang puan jelaskan dapat kita simpulkan bahawa barangan yang dijual dinaikkan berlipat ganda hanya dengan tujuan memberi keuntungan pada ahli dan bukan kerana menjual barangan.

    Ada juga sedikit unsur sistem piramid yang mana upline sentiasa untung atas usaha ‘downline’, sedangkan dalam Islam tiada hasil tanpa usaha.

    Perniagaan berdasarkan usaha menjual dan bukan tajaan ahli yang ramai. Wujud juga unsur penganiayaan di mana mereka yang terakhir dan tidak berjaya mencari ahli tidak sama sekali mendapat untung.

    HAK ISTERI KEMATIAN SUAMI

    Petikan daripada Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

    SOALAN

    SUAMI saya meninggal dunia setahun lalu dan meninggalkan anak lelaki berumur dua tahun di bawah jagaan saya. Saya menetap di Johor manakala bekas mentua di Perak.


    Semua wang simpanan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) arwah sudah saya terima tetapi belum dibahagikan secara faraid.

    Saya merujuk ke pejabat agama untuk mendapatkan bahagian faraid (waris daripada keluarga arwah suami) dan membayar zakat daripada wang berkenaan. Untuk insurans kerja, arwah menamakan saya dan adik lelakinya sebagai pewaris.

    Saya menganggap wang itu sebagai perbelanjaan untuk anak saya. Bagaimanapun keluarga bekas mentua tidak bersetuju dengan alasan:

  • Selepas tamat edah, saya tiada apa-apa hubungan lagi dengan keluarga arwah kecuali anak saya.

  • Semua wang yang tiada penawar (simpanan dan KWSP) adalah hak anak saya sepenuhnya dan segala urusan di bawah tanggungjawab bekas bapa mentua sebagai pemegang amanah.

  • Saya hanya berhak menerima 1/4 saja daripada wang insurans walaupun saya adalah penama dan bakinya perlu diserahkan kepada bekas bapa mentua; sedangkan bahagian kedua (adik lelaki arwah) adalah haknya sepenuhnya.

    Soalan saya, adakah saya perlu mengagihkan wang (simpanan dan KWSP) berkenaan berdasarkan faraid? Siapakah yang sepatutnya menjadi pemegang amanah ke atas wang anak saya? Tidakkah saya sebagai ibu lebih berhak kerana dia di bawah jagaan saya?

    Adakah benar saya hanya berhak menerima 1/4 saja daripada wang insurans berkenaan dan perlu menyerahkan bakinya kepada bekas bapa mentua untuk semua perbelanjaan anak yang berada dalam jagaan saya? Adakah adik lelaki arwah memang berhak menerima sepenuhnya bahagiannya kerana statusnya sama saja dengan saya?

    Saya harap Datuk dapat menjelaskan isu ini yang menimbulkan rasa tidak puas hati di pihak bekas mentua walaupun saya tidak menuntut apa-apa ke atas harta peninggalan arwah iaitu kereta dan motosikal walaupun saya anak beranak berhak ke atasnya.

    MUNA
    Johor


    JAWAPAN


    Dalam pembahagian harta pusaka suami jika suami meninggalkan wasiat atau pesanan seperti yang dilakukan pada wang insuran maka ia wajib dilaksanakan berdasarkan wasiatnya tanpa sebarang pindaan lain atau faraid kerana itu adalah dikira wasiat.

    Justeru itu kelayakan puan pada wang insuran adalah seperti yang diamanahkan tanpa boleh dikurangi sedikit pun bersama adik lelaki yang juga diwasiatkan.

    Menurut fatwa muzakarah kali ke 67 wang KWSP tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian sebaliknya mesti dibahagikan ikut faraid jika tiada wasiat.

    Harta yang lain peninggalan suami pula mulanya dibahagikan kepada harta sepencarian dulu kepada isteri, dan selebihnya barulah kepada hak pewaris lain.

    Jika dari apa yang puan nyatakan, pewaris maka hak selepas ditolak hutang, wasiat dan harta sepencarian puan ialah 1/8 (3/24); hak ayah 1/6 (4/24) dan selebihnya adalah milik anak lelaki (17/24).
  • SYARAT LELAKI JADI WALI

    Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

    SOALAN

    ADA orang mengatakan bapa yang tidak pernah melakukan suruhan Allah yakni tidak menunaikan solat lima waktu tidak boleh menjadi wali kepada anaknya. Jika diteruskan berkemungkinan perkahwinan anaknya tidak berpanjangan. Apa komen Datuk?


    SYIKIN
    Serdang


    JAWAPAN


    Sesiapa yang dengan sengaja meninggalkan perintah Allah seperti solat dan ibadat yang lain, adalah dikira berdosa dan diistilahkan sebagai fasiq.

    Seorang yang fasik tidak boleh menjadi wali untuk pernikahan anaknya. Di antara syarat-syarat wali (wali akrab) itu, tidak kafir, tidak fasik, adil dan tidak gila.

    Jika dia masih berhasrat menjadi wali kepada anaknya hendaklah dia terlebih dulu bertaubat kepada Allah, maka kedudukannya diterima sebagai seorang wali. Soal sama ada jodoh itu berpanjangan atau tidak semuanya dalam ilmu Allah.

    Manusia dituntut berusaha dan memohon doa kepada Allah. Perkahwinan yang dari awal menurut syarak dan syarat insya Allah akan lebih mendapat berkat dan berpanjangan. Sewajarnya sesuatu perkahwinan itu diasas dari awal dengan tuntutan Islam barulah mendapat hidayah dan berkat.

    HUKUM DENGAR LAGU ORANG YANG SUDAH MATI

    Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

    SOALAN

    APAKAH hukum memasang atau memperdengarkan lagu dendangan artis yang sudah meninggal dunia seperti Tan Sri P Ramlee dan Sudirman Arshad?


    Ada pendapat mengatakan mereka akan terseksa di dalam kubur apabila lagu mereka dikumandangkan, benar atau tidak?

    SHAZ
    Gombak


    JAWAPAN


    Setiap kita melakukan kebaikan dengan cara tersendiri. Sumbangan kita akan dinilai dengan neraca dan timbangan Allah SWT dan bukan timbangan manusia.

    Biar Tuhan saja yang menilai seseorang manusia.

    Tidak semua lagu membawa kepada keburukan. Irama lagu adalah fitrah hiburan yang baik untuk ketenangan jiwa dan lagu yang baik boleh menginsafkan dan menyedarkan manusia mengenai tanggung jawab sebagai hamba Allah.

    Nyanyian hukumnya tidak haram secara mutlak dan daripada segi hukum nyanyian dan muzik tidaklah haram, namun akibat daripada beberapa keadaan, muzik atau nyanyian itu boleh menjadi haram.

    Seseorang itu tidak akan terseksa dengan perbuatan orang lain.

    Dasar Islam meletakkan dengan jelas bahawa seseorang itu tidak akan menanggung dosa dan perbuatan orang lain.

    Begitu juga seksaan kubur antara perkara ghaib yang wajib diyakini.

    Usah kita asyik memikirkan dosa mereka, elok difikirkan mengenai balasan dan niat orang yang mendengarnya juga.

    PENGGUNAAN KATA GANTI DIRI UNTUK ALLAH

    Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

    SOALAN

    SAYA inginkan kepastian mengenai penggunaan kata ganti diri untuk Allah dalam apa saja penulisan. Di dalam penulisan bahasa Melayu kita boleh gunakan kata ganti diri ‘Dia’ atau ‘Engkau’ untuk Allah, tetapi di dalam penulisan bahasa Inggeris, bolehkah kita gunakan kata ganti diri ‘He’ atau ‘Him’ untuk Allah?


    Sedangkan ‘He’ dan ‘Him’ merujuk kepada seseorang yang berjantina lelaki. Fahaman saya, kebanyakan penulisan bahasa Inggeris di Barat menggunakan perkataan ‘He’ dan ‘Him’ untuk tuhan mereka, sebagai contoh Nabi Isa di dalam agama Kristian. Jika perkataan ‘He’ dan ‘Him’ boleh digunakan untuk Allah dalam mana-mana penulisan Bahasa Inggeris, ini bermakna perkataan ‘She’ dan ‘Her’ juga boleh digunakan.

    Saya tidak pernah gunakan apa-apa kata ganti diri untuk Allah dalam penulisan Bahasa Inggeris kerana ragu-ragu.

    ZAMRI
    Johor


    JAWAPAN


    Antara sifat Allah SWT ialah ‘tiada yang menyerupainya’. Pencipta tidak mungkin sama dengan makhluk yang dicipta-Nya. Adakah seorang pembuat roti sama dengan roti buatan tangannya? Tentu jawapannya tidak.

    Justeru, penggunaan kata nama bagi lelaki atau perempuan bukan menggambarkan jantina, subhanallah Allah itu tidak menyerupai makhluk-Nya, tidak lelaki atau perempuan.

    Cuma perkataan seumpama itu digunakan bagi tafsiran untuk manusia memahaminya dan bukan menggambarkan jantina.

    Bahkan dalam bahasa Arab, perkataan ‘hua’ digunakan untuk maskulin, namun bukan memberi maksud jantinanya, sebaliknya penggunaan berkenaan sebagai ‘ahglabiah’ atau pada kebiasaan dipakai untuk memudahkan pemahaman seseorang.

    Begitu juga istilah ‘man’ dalam bahasa Inggeris bukanlah membawa makna jantina lelaki semata-mata tetapi juga digunakan merujuk kepada manusia juga yang termasuk dalam istilah ini lelaki dan perempuan.

    MAS KAHWIN HAK WANITA

    Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

    SOALAN

    SAYA ingin mendapatkan penerangan mengenai duit mas kahwin. Saya sudah berkahwin hampir setahun dan suami belum menjelaskan mas kahwin RM7,000.


    Apabila saya bertanyakan soalan ini kepada suami, dia berkata duit motosikal, televisyen, peti sejuk, mesin basuh, perbelanjaan berbulan madu dan lain-lain sudah melebihi RM7,000.

    Saya katakan itu keperluan yang dia perlu sediakan, itu bukan mas kahwin. Kadang-kala hal ini boleh menyebabkan pergaduhan. Bolehkah Datuk jelaskan mengenai hal ini? Untuk pengetahuan Datuk, kami bernikah tanpa apa-apa majlis (hanya akad nikah).

    Rasanya tidak salah jika saya menuntut hak saya kerana jika diikutkan, perbelanjaan kenduri kahwin wang sebanyak itu tidak mencukupi.

    EMMA
    Kedah


    JAWAPAN


    Mas kahwin ialah hak wanita yang perlu ditunaikan lelaki yang menikahi perempuan berkenaan. Kelonggaran yang diberi ialah ia boleh dibayar ketika akad atau diberi tempoh selepasnya (selepas akad). Kewajipan membayarnya tidak akan jatuh atau hilang walaupun suami membeli barang keperluan rumah.

    Barang keperluan rumah antara nafkah yang wajib suami sediakan selepas berkahwin, sedangkan mas kahwin ialah hak wanita yang wajib diberi ketika mengambil amanah seorang isteri.

    Jika isteri menghalalkan mas kahwin berkenaan, baru suami terlepas daripada membayarnya, jika tidak ia dianggap hutang yang masih wajib dilunaskan.

    Memang puan tidak salah menuntut hak berkenaan, bahkan puan mengingatkan suami mengenai tanggung jawab yang dia wajib laksanakan.

    ADAB BERSAMA ISTERI

    Soalan:
    Apakah pandangan Islam, mengenai hak seorang isteri ke atas suaminya. Ada di antara suami yang gagal menunaikan hak isterinya khususnya dalam menunaikan jimak, dengan alasan sibuk dengan kerja dan aktiviti di luar.

    Jawapan:

    Jimak adalah hak seorang isteri yang wajib ke atas suaminya merupakan pandangan Ibn Qudamah al-hanbaliy, al-Wat’u, wajib atas seorang lelaki. Maksudnya, wajib ke atas seorang suami ‘mendampingi’ isterinya sekiranya dia tidak uzur, ini pandangan Imam Malik.

    Dalil yang mewajibkan jimak ialah firman Allah SWT yang bermaksud: Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung Dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri Yang lain seperti benda Yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (Keadaan Yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan Yang zalim), maka Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Nisa’: 129).

    Berdasarkan ayat ini Imam al-Jashsas berkata, si isteri wajib mendapatkan nafkah batin daripada suaminya. Ini kerana ayat di atas adalah menjadi dalil bahawa jangan tinggalkan isteri-isteri kamu dalam keadaan tergantung (tidak menunaikan hak jimak ke atas mereka).

    Imam al-Bukhari mengeluarkan hadis daripada Abdullah bin Amru bin al-Ash yang bermaksud: Rasulullah SAW telah bersabda: Wahai Abdullah bukankah aku telah memberitahu engkau bahawa engkau berpuasa di siang hari dan bersolat malam (secara berterusan)? Aku menjawab: ya wahai Rasulullah. Baginda berkata: Jangan buat begitu, puasalah engkau dan berbuka, bangun malam untuk solat dan tidur, sesungguhnya jasad engkau mempunyai hak ke atas engkau, dan sesungguhnya mata engkau mempunyai hak ke atas engkau, dan sesungguhnya isteri engkau mempunyai hak ke atas engkau.

    Dalam mensyarahkan hadis ini ulama berpendapat: Tidak harus bagi seorang suami hanya mementingkan ibadat sehingga lalai dari menunaikan hak seorang isteri.

    Di dalam syariat Islam nikah adalah untuk memelihara kemaslahatan suami dan isteri demi memelihara maruah diri supaya tidak melakukan suatu yang ditegah oleh Allah sehingga melangsaikan keinginan nafsu pada jalan yang haram.

    Di dalam athar sahabah, Umar bin al-Khattab r.a telah memutuskan keputusan di dalam qada ke atas Kaab bin Siwar supaya seorang lelaki hendaklah bermalam bersama isterinya setiap empat malam sekali.

    Dalam memperhalusi fatwa Umar ini Ibn Qudamah menyatakan: “Sesungguhnya keputusan Umar ini tersebar dan tiada yang membantahnya dan ia dipersetujui oleh ulama (ijmak). (Ibn Qudamah, al-Mughniy, jld:7, hlm: 29).

    Maka bagi suami yang bersama dengan isterinya bukan dalam musafir, maka hendaklah menunaikan hak isterinya paling tidak empat hari sekali. Pandangan ini disokong oleh Imam al-Ghazali.

    Di dalam menunaikan hak nafsu pada jalan yang halal ini, Islam telah mengajar umatnya supaya memelihara adab-adab berjimak supaya tidak melampaui batasan syarak.

    Di antaranya ialah:

    1- Melafazkan bismillah, dan mohon perlindungan dari kerterlibatan syaitan dalam jimak.

    Telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, daripada Ibn Abbas r.a daripada Nabi SAW yang bermaksud: “Sekiranya ada di antara kalian yang ingin mendatangi isterinya (jimak) hendak membaca: Bismillah, Allahumma jannibna al-Syaitan wa jannib al-syaitan maa razaqtana, sekiranya mereka berdua dikurniakan anak maka anak itu tidak akan dimudaratkan oleh syaitan”. (al-Bukhari, Syarah al-‘Asqalaniy, jld:9, hlm: 305).

    2. Hampir tidak dipelihara ialah menutup tubuh ketika mengadakan hubungan kelamin.

    Baginda Rasulullah SAW ada berpesan, melalui hadis baginda yang diriwayatkan oleh Ibn Majah yang bermaksud: “Apabila salah seorang di antara kamu ingin mendatangi isterinya maka hendaklah menutup dan jangan telanjang bulat seperti keldai liar”. (Ibn Majah, jld: 1, hlm: 619).

    3. Tidak menyetubuhi isteri di sisi isteri yang lain atau didengari oleh isteri yang lain.

    4. Tidak menghadap kiblat, antara adab yang jarang didedahkan ialah tidak menghadap kiblat ketika jimak.

    Ini kerana Amru bin Hazam dan athar menghukum perbuatan menghadap kiblat ketika jimak dan bercakap banyak ketika jimak sebagai makruh.

    Perkara ini pernah ditegur oleh Rasulullah saw dalam hadis yang bermaksud: “Jangan kamu banyak berbicara ketika berjimak dengan isteri-isteri kamu”. (al-Mughniy, jld:7, hlm: 25).

    5. Mencapai kepuasan dalam jimak. Tidak dikira sempurna jimak itu selagi tidak mencapai kepuasan oleh pasangan suami dan isteri.

    Kesimpulannya, walaupun jimak adalah ibadat, dalam melakukan ibadat kita mengharapkan agar ia membawa maksud yang positif kepada si pengamalnya.

    Justeru, adalah wajar bagi setiap pasangan memelihara adab dan menjaga batasan agar tidak terlalu terikut-ikut dengan kehendak nafsu sehingga melakukan suatu yang bukan dari budaya Islam.

    ZAKAT SAHAM ADALAH 2.5%

    SOALAN:
    Majikan saya baru-baru ini memberikan saham syarikat sebanyak 4,000 unit dengan nilai RM5 seunit kepada semua kakitangan.

    Namun begitu, saham itu hanya boleh dijual setelah tempoh setahun dan kakitangan hanya dibenarkan memiliki 50 peratus daripada harga jualan. Persoalannya, adakah saya wajib mengeluarkan zakat apabila menjual saham itu nanti?

    JAWAPAN:

    Saham itu hendaklah dipastikan saham yang mematuhi piawaian syariah. Jika ia tidak tunduk kepada syariah, misalnya menceburi bidang perniagaan yang haram, maka pengembangan daripada pokok saham saudara itu tidaklah boleh dizakatkan. Hanya pokoknya sahajalah yang wajib dikirakan zakatnya.

    Dalam kes di atas, ia bermakna saudara mendapat saham yang keseluruhannya bernilai RM20,000. Secara kasarnya, ia memang telah melebihi nisab.

    Namun, katakanlah setelah tamat setahun, harga jualan melebihi daripada harga asal. Andaikan ia berharga RM7 seunit, maka saudara sudah memiliki RM28,000.

    Oleh kerana majikan hanya membenarkan separuh dimiliki oleh saudara, maka zakat hanya dikenakan 2.5 peratus ke atas nilai RM14,000.

    lUntuk maklumat lanjut sila layari www.e-zakat.com.my atau emel kepada hamizul@e-zakat.com.my

    06 Mei 2009

    BABI YANG MENDATANGKAN MASALAH

    Allah telah berkali-kali menjelaskan kepada umat manusia tentang pengharaman babi. Al-Quran bukanlah diturunkan secara khusus kepada umat Islam semata-mata, malah ianya pedoman, sumber ilmu untuk umat manusia akhir zaman.

    Terlalu banyak mudarat dan kerosakan yang berlaku akibat penternakan dan pemakanan daging babi. Manusia tetap manusia. Lupa dan alpa sepanjang masa. Keegoan dan kejahilan manusia memang cukup tinggi meskipun telah dikhabarkan oleh Pencipta Allah Azza wajalla.

    Bukankah banyak lagi haiwan yang boleh diternak dan dimakan dagingnya? Lembu dan kambing juga berkaki empat. Halal lagi baik pada pandangan Islam. Dahulu, JE melanda yang bersumberkan babi. Kita bunuh, tembak dan tanam hidup-hidup. Sekarang, selsema babi pula yang melanda, kita panik. Mungkin tidak lama lagi kita akan melakukan perkara yang sama sebagaimana JE melanda dahulu.

    Apakah yang berlaku bila selsema babi sudah tidak digeruni? Manusia akan menternaknya semula. Lupa tentang musibah dan huru-hara yang babi telah timbulkan kepada manusia. Di sini, jelas kepada kita manusia sememangnya pelupa.